Tuesday, October 9, 2012

NS Betaria ke Liga Perdana 2013





PETALING JAYA - Wakil kelab Negeri Sembilan, Betaria FC mengisi slot terakhir ke Liga Perdana musim depan selepas mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas UiTM FC pada perlawanan kalah mati di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
  
Betaria FC yang dibimbing Mohd Azuan Zain melancarkan serangan bertali arus ke kubu UiTM FC sebaik sahaja pengadil perlawanan, Kamal Ahmad meniupkan wisel permainan.
  
Hasilnya, pemain tengah Nasrullah Haniff Johan membuka tirai jaringan untuk kelab tersebut seawal minit keenam sebelum Khairul Azlan Muhamed menambah gol kedua pada minit ke-29 menerusi larian solo dari tengah padang.
  
Enam minit kemudian, Nasrullah Haniff mencipta jaringan peribadi untuk memberikan tekanan kepada UiTM FC yang dibimbing bekas penolong jurulatih Harimau Muda A, Azman Eusoff.
  
Bersambung separuh masa kedua, UiTM FC memperkemaskan jentera hadapan namun kekebalan benteng pertahanan Betaria FC yang dikawal oleh S. Harivarman dan Mohd Rizal Roslan menyukarkan mereka untuk mencari gol.

Keputusan itu kekal sehingga tiupan wisel terakhir perlawanan oleh pengadil untuk membolehkan juara Liga FAM 2011 itu kekal bersaing dalam Liga Perdana untuk musim kedua berturut-turut.
      
  
    Barisan Pemain:
    ----------------
  
    Betaria FC: Mohd Khairul Izzuwan Saari, S.Harivarman, Mohd Rizal Roslan,
Khairul Azlan Muhamed, Muhammad Shahrul Nizam Abdul Hamid, Mohamad Afendi Ishak,
Nasrullah Haniff Johan, L. Rajesh,    C. Premnath, Mohd Saufi Mohd Ibrahim
(kapten), Muhammad Fauzi Abdul Kadar.
  
    UiTM FC: Afiff Aizad Azman, Ahmad Syahir Ismail (kapten), Mohd Faid Mohd
Tahir, Muhammad Aizat Jaini, Muhamad Firdaus Paris, Mohd Shafiq Mohd Mokhtar
(Mohd Adam Syahir), Mohd Nasril Izzat Jalil, Saiful Ridzuwan Selamat, Mohamad
Nazrin Khairi, Muhd Nursalam Zainal Abidin (Saiful Hazmi Salleh), Mohd Afham
Zulkipeli.
  
  
    Senarai 12 pasukan Liga Perdana 2013:
    ------------------------------

  
    Kedah  
    Sime Darby
    Johor
    PDRM
    USM FC
    Pos Malaysia FC
    Harimau Muda B (pasukan jemputan)
    MP Muar
    Sabah
    Sarawak
    SPA FC (Juara Liga FAM)
    Betaria FC
  
- Bernama

No comments:

Post a Comment