Tuesday, October 9, 2012

Jang cari muka baru


SKUAD Negeri Sembilan yang terkandas di suku akhir Piala Malaysia sekali gus gagal mempertahankan Piala Malaysia dijangka berwajah baru pada saingan Liga Malaysia musim depan.
Ini berikutan beberapa pemain baru dijangka diserap bagi mengisi kekosongan ditinggalkan pemain skuad itu yang tamat kontrak.

Antara pemain yang menamatkan kontrak musim ini termasuk kapten pasukan, Mohd Shukor Adan dan penjaga gol Mohd Farizal Marlias selain pemain tengah Idris Karim dan pemain sayap kiri, S Kunanlan.
Farizal yang juga penjaga gol kebangsaan dikatakan bakal berhijrah ke Perak manakala Kunanlan dipancing Selangor sementara Shukor Adan pula berminat menyarung jersi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sumber menyatakan, antara beberapa pemain lama yang dijangka terus kekal dalam skuad itu termasuk Norhafiz Zamani Misbah, Shahurain Abu Samah, Mohd Alif Shamsuddin, Mohd Firdaus Azizul, Abd Halim Zainal dan Ahmad Shakir Md Ali.

Pemain baru yang sudah mengesahkan untuk bersama skuad Hoben Jang Hoben adalah bekas pemain Pos Malaysia, Azmeer Yusof, yang dipinjam pada kempen Piala Malaysia.
Kedudukan dua pemain import, Jean Emmanuel-Effa Owona dari Cameroon dan Marian Farbak dari Slovakia juga belum pasti kerana pengurusan pasukan meneliti prestasi mereka sebelum menawarkan kontrak baru.

Menurut sumber itu, pihaknya belum mendapat maklumat jelas dari segi kedudukan pemain yang bakal menganggotai pasukan bagi menghadapi musim depan, namun percaya pengurusan meneliti beberapa pemain terbaik tempatan untuk diserapkan.
“Saya akui beberapa pemain sudah tamat kontrak musim ini dan sebahagian daripada mereka turut mendapat tawaran baru dengan pasukan lain.

“Namun, saya yakin pengurusan pasukan berusaha mendapatkan pemain terbaik kerana ada isyarat daripada pengurusan tertinggi,” katanya semalam.

No comments:

Post a Comment